Wednesday, April 15, 2009

MEMORIAL TUN ABDUL RAZAK


Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1985. Penubuhan Memorial ini adalah untuk mengenang dan memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang kebebasan dan kemerdekaan tanahair membebaskan Negara dari cengkaman penjajah yang silih ganti. Pejuangan yang bermula seawal tahun 1511 mengambil masa 446 tahun dan diakhiri dengan pengisytiharan Kemerdekaan Negara pada tanggal 31 Ogos 1957. Memorial ini mengimbau sejarah perjuangan kemerdekaan dengan memaparkan pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, cenderamata, keratan akhbar, pakaian rasmi, pen, keris, cop mohor, peti undi dan audiovisual. Bahan-bahan pameran dipamerkan mengikut sektor-sektor tertentu bagi memudahkan pelawat mengetahui dan memahami liku-liku perjuangan kemerdekaan negara. Sektor-sektor tersebut ialah Sektor Pengenalan dan Pertuanan Melayu, Sektor Menghadapi Cabaran Kuasa Asing, Sektor Kebangkitan Semangat Kebangsaan, Sektor Menentang Malayan Union, Sektor Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Sektor Menghadapi Gerakan Komunis, Sektor Ke Arah Kemerdekaan, Sektor Kemerdekaan, Sektor Raja Berpelembagaan, Sektor Ketua Negara, Negeri dan Kerajaan dan Sektor Penubuhan Malaysia. Selain dari itu, terdapat juga kereta Merdeka 1957 serta dua buah kereta perisai yang digunakan semasa Darurat dipamerkan di bahagian luar bangunan Memorial. Memorial ini ditempatkan di bangunan yang asalnya dikenali sebagai Malacca Club  yang telah dibina sekitar tahun 1911 dan senibinanya memperlihatkan ciri-ciri adunan unsur-unsur tempatan dan British. Bangunan ini dipilih kerana ianya terletak di hadapan Padang Banda Hilir Melaka; tempat di mana YTM Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan tarikh kemerdekaan sekembalinya Rombongan Merdela dari London. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 20 Februari 1956 ini merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Negara.

No comments:

Post a Comment